Sunday 10 July 2011

'TOLONGLAH JADI KEKASIHKU'

 “Lepaskan aku! Lelaki sial! Jahanam kau pergi mampus!” Pekikku kepada Herwan. Herwan menatapku tajam. Jelas sekali dia terluka dengan suaraku yang meninggi dengan kata-kata kesat itu. Tapi aku tidak peduli. Aku tidak sudi menerima pujukannya. Hatiku sakit dan pedih sekali. Rasa marah dan benci meluap-luap pada Herwan. Diri terasa dikhianati dan hatiku menjadi hancur luluh. Herwan cuba memujuk lagi. Mata ini yang telah menjadi saksi, jadi tak mungkin aku mahu penjelasan yang penuh pembohongan darinya lagi.

“ Sayang!”
“ Apa sayang-sayang! Kau tak faham makna sayang! Pergi! Pergi! Aku benci kau!” Aku melangkah selaju mungkin. Namun, Herwan terus mengejar. Aku menghentakkan kaki dengan lebih kuat dan menjerit marah.
“Pergi! Aku benci kau! Benci!” Kemarahanku telah meletup. Sakit benar rasa hatiku. Tanpa sedar aku menumbuk-numbuk dadaku, seolah-olah ia akan menghilangkan rasa yang berbuku dan membebankan pada dadaku ini. Akhirnya, Herwan mengalah. Aku tak sudi di ujuknya. Kalau Herwan terus memujuk, mungkin pelempangku akan melayang ke pipinya. Sakit hatiku hingga aku tidak berdaya sekali pun untuk menangis. Aku melihat dengan mata kepalaku sendiri, Herwan dan Shila berpegangan tangan dan lentok manja Shila di bahu Herwan Oh, kalaulah aku boleh bunuh mereka berdua! Patutlah batalkan janji temu kami. Rupa-rupanyanya ada janji temu dengan Shila untuk menonton wayang. Pelik sekali. Shila benar-benar tidak rasa bersalah pada sahabatnya ini. Sampai hati Shila. Pelik sekali, bagaimana Herwan boleh melayanku seperti puteri tapi dalam masa yang sama sedang bercinta dengan Shila. Herwan yang dulunya sungguh lemah lembut itu rupa-rupanya seorang penipu! Semakin pelik kerana Shila sanggup berhubungan sulit dengan kekasih kawan baiknya sendiri. Kenapa? Kenapa Herwan? Kenapa Shila? Kenapa kalian robek hatiku dengan sekejam ini?
Dengan langkah yang rakus aku meluru ke keretaku. Bayangan Herwan dan Shila masih tidak lekang dari mataku. Bagai orang bodoh aku dipermainkan. Herwan kekasih yang aku percayai dan Shila kawan karibku. Aku tidak mampu bertenang dengan kenyataan itu. Aku tahu mereka memang rapat. Aku tak kisah sekali pun Herwan menghantar Shila pulang atau keluar makan bersama. Sebelum bercinta dengan Herwan, kami bertiga memang kawan baik. Kami bertiga memang selalu bersama. Nampaknya, aku telah kehilangan seorang kawan dan seorang kekasih. Jantungku terasa ditikam-tikam apabila terfikirkan hal itu. Perit hingga aku ingin lenyap dari dunia ini. Tenggelam dalam laut yang dalam agar kesakitan dan keperitan dalam hatiku lenyap.
Telefon bimbitku terdapat banyak ‘missed calls’ dari Herwan dan Shila. Aku sengaja tak sambut panggilan mereka berdua. Aku tak bersedia mendengar penjelasan karut dari mereka berdua. Beberapa mesej juga ada dari mereka. Tapi aku tak pedulikannya. Ayat-ayat yang menghancurkan hatiku tentunya tertera dalam mesej itu. Oh, Tuhan! Tabahkan hatiku ini. Tapi dalam rasa marah itu, aku juga berasa amat sedih sekali. Shila, kawanku yang paling aku sayangi dan paling aku ambil berat. Betapa kehilangannya akan menjadi kudis dalam hatiku. Herwan? Entah bagaimana dia boleh setamak itu ingin memiliki aku dan Shila sekali gus. Macam mana aku hendak berdepan dengan mereka? Oh, tuhan! Aku semakin rapuh dengan ujian ini.
“Nah, ambil ini!” Tiba-tiba sehelai sapu tangan melayang ke lenganku. Aku segera menangkapnya. Aril sedang memandangku dengan pandangan sinis. Walaupun aku sedikit jengkel dengan pandangannya tapi aku tetap mengucapkan terima kasih.
“Aku akan kembalikannya nanti,” kataku sambil mengesat air mata dan hingusku. Sekali lagi, aku melihat senyuman sinis Aril.
“Tak payahlah, kau boleh simpan saputangan tu.”
“ Hah?” Aku menginginkan kepastian. Aril, pemuda yang baru bebarapa bulan masuk kerja sama tempat denganku, dia muda tiga tahun dari aku. Tapi perangainya kadangkala memang menyakitkan hati terutamnya sikapnya yang penyibuk dan suka menyindir.
“Sebenarnya, sudah lama aku tahu kekasih kau berhubungan sulit dengan kawan baik kau sendiri, tapi aku diamkan saja sebab melihatkan kau begitu bahagia dengan dia.” Kata-kata Aril membuatkan aku terpegun.
“Macam mana kau tahu? Mengapa kau tak cakap padaku? Aku selama ni macam orang bodoh. Kau tahu, macam orang bodoh!” Aku kembali teresak-esak.
“ Hai, sudahlah! Jangan menangis kerana dua orang jahat, bodoh dan kejam itu. Tentu ada pembalasan untuk mereka.” Nadanya agak garang tapi penghujungnya kedengaran lembut seakan memujuk.
“Aku beberapa kali terjumpa mereka ketika membeli tiket wayang, kadangkala aku jumpa mereka di gerai makan. Pernah juga terserempak ketika mereka berpegangan tangan di taman bunga.” Umpama luka yang di siram garam. Itulah yang aku rasa pedihnya apabila mendengar penjelasan Aril, membayangkan kemesraan mereka di belakangku. Sedangkan Shila masih rapat dengan aku seperti dulu. Tapi, bagaimana dia boleh berlaku tenang di depan aku dengan membawa dosa seperti itu? Oh Shila, adakah persahabatan kita tiada harganya?
“Kau diamkan saja? Biarkan aku macam orang bodoh?” Marahku menatap Aril. Macam aku nak telan saja pemuda berkulit putih tu. Dia mengeluh.
“Apa boleh buat, perempuan memang bodoh! Sudah berapa kali aku bagi klu dengan kau tapi kau langsung tak peduli. Yalah, orang tengah dilamun cinta.” Sakit hatiku apabila Aril cakap ‘perempuan memang bodoh’ tapi bukan itu yang menarik perhatianku.
“Apa? Bila? Bila kau pernah bagi klu?”
“Aku pernah ajak kau tengok wayang. Ingat? Sebenarnya aku saja nak bawa kau tengok wayang supaya kau nampak sendiri hubungan mereka. Aku nampak Herwan beli tiket wayang pada masa itu dan aku agak dia bukan pergi bersamamu. Lagi satu, aku pernah tanya kau kenapa kau biar kawan baik kau dihantar pulang oleh kekasih sendiri?. Aku selalu tanya kau tak pernahkah cemburu melihat betapa akrabnya kawan baikmu dengan kekasihmu? Tapi kau tak kisah. Kau percaya dengan meraka. Sekarang ha, tulah!” Aril seakan memulangkan paku buah keras kepadaku.
“Tapi, mereka memang kawan baik aku. Sebelum aku mula bercinta dengan Herwan, Shila juga adalah kawan baik Herwan. Aku tidak akan menyangka mereka tergamak buat aku macam ni.” Kataku mempertahankan diri.
“Huh, aku tak percaya ada persahabatan antara lelaki dan perempuan!” ketusnya tegas. Dia menjelingku tajam seolah-olah marah padaku.
“Apa? Kau memang tidak munasabah! Lelaki dan perempuan memang boleh jadi kawan asalkan benar-benar ikhlas! Tapi persahabatan merekalah yang tidak ikhlas! Tapi tak apalah. lebih baik aku tidak mempunyai kawan daripada mempunyai kawan yang makan kawan,” kataku seolah-olah memujuk diri sendiri. Sebelum ini aku hairan kenapa Aril beria-ia mengajak aku menonton wayang sedangkan sikapnya pada aku agak pelik. Dia tidak kelihatan sedang memikatku, malah dia suka menyibuk dengan hubungan cintaku. Rupa-rupanya inilah rahsia disebalik sikap Aril. Dia mungkin kasihan melihat aku diperbodohkan dan berniat untuk membuka mataku. Aku saja yang tidak faham dengan tindakannya. Dia penyibuk bersebab rupanya.
“Jomlah, dah lewat ni. Mari kita masuk kerja.” Aril membelek jam tangannya.
“Bolehkah aku ambil cuti hari ni? Aku tak mungkin dapat menumpukan perhatian pada kerja.” Aril tidak menjawab kata-kataku tetapi menarikku menaiki tangga pejabat.
“Kalau kau ambil cuti, kau akan menghabiskan masa dengan menangis sampai kering airmata. Lebih baik kau sibuk berkerja. Lagipun, kita sedang sibuk ni. ‘Report’ kena siapkan dalam minggu ni dan nak hantar, ‘due date’ dah dekat,” mahu tidak mahu aku kuatkan kaki melangkah memanjat anak tangga. Aku tidak diberi peluang bersedih. Tapi tak apalah. Mungkin benar juga kata Aril. Rika, tabahlah hatimu! Bisikku memberi semangat pada diri sendiri. Air mata sekali lagi aku kesat.
Aku benci melihatnya. Aku benci melihat air matanya. Tapi lidahku kelu. Segala maki hamun dan kata-kata kesat yang bermain-main difikiranku yang ingin aku hamburkan padanya ternyata tersangkut ditekakku, tidak terluahkan. Shila bergenangan airmata menceritakan penderitaaannya menyembunyikan hubungan rahsianya dengan Herwan. Aku ingin percaya tapi hatiku selalu berbisik sinis. ‘Dia bukan kawanku! Dia kawan yang makan kawan! Dia kawan yang pandai tikam belakang!’
“Rika, ucapkanlah sesuatu! Aku bersalah, aku patut di hukum. Tamparlah aku! Pukullah aku! Hukumlah aku! Aku bersalah padamu, Rika. Tapi, sumpah! Aku beratus-ratus kali aku cuba matikan perasaan cintaku pada Herwan. Tapi, hati ini buta! Cinta aku benar-benar buta! Seribu kali aku cuba menipu diri, tapi sejuta kali hatiku ingin merampas Herwan darimu. Maafkan aku, Rika! Aku kejam! Aku tidak layak jadi kawanmu, tapi aku benar-benar cintakan Herwan. Ampunkan aku, Rika! Ampunkan aku!” Sedu-sedan Shila berlarutan. Benarkah dia berasa begitu bersalah? Benarkah dia rasa berdosa seperti itu sedangkan dia setenangnya bersengkongkol dengan Herwan bermain cinta dibelakangku? Herwan sendiri melayanku seperti biasa. Aku rasa dicintai dan disayangi sepenuh hati apabila bersama Herwan. Langsung tiada petanda. Aku sedikit pun tidak menghidu bau perhubungan sulit mereka. Kedua-duanya begitu teliti di hadapanku. Tiada sebarang tanda yang mereka berdua sedang dilamun cinta. Atau akukah yang terlalu buta? Ah, inikah cinta tiga segi? Tidak! Sebenarnya akulah orang ketiga yang menganggu antara mereka berdua. Kalau Shila dan Herwan sebegitu ghairah dilamun cinta, bagaimana pula aku boleh terlibat dalam percintaan ini? Argh…..!
“Aku tahu sampai di sini saja persahabatan kita, jaga diri baik-baik. Sekalipun aku tidak layak memohon maaf, tapi aku tetap memohon ampun dan maaf.” Shila bangun ingin melangkah pergi. ‘ya, sampai di sini saja persahabatan kita, kalaulah kau pernah menganggapnya suatu persahabatan,’ bisikan itu hanya bergema dihatiku. Aku masih tidak berdaya memaafkan mereka berdua. Sehingga Shila hilang dari pandangan aku masih terpaku. Menyesal kerana tidak bertanya kenapa dia begitu kejam? Kenapa ini? Kenapa itu? Kenapa? Kenapa? Kenapa? Walaupun aku tahu dia tidak semestinya dapat menjawab semua soalanku, tapi aku kesal kerana tidak mencemuh dan mengeji kekejamannya merampas kekasih kawan baiknya sendiri. Setitik airmata gugur lagi. Aku terlalu sayangkan Shila. Dia kawanku yang paling baik. Ah salah, dia pernah menjadi kawanku yang paling baik. Dia pernah berjaga semalaman ketika aku demam panas ketika kami tinggal di asrama. Dia sentiasa menyimpan nota untukku kalau aku tidak hadir ke sekolah. Kami selalu membonceng basikal berdua ketika pergi berkelah di pantai pada hujung minggu. Kami ketawa dengan gembira ketika mandi laut bersama. Dia menyimpan semua rahsiaku dan aku menyimpan semua rahsianya. Terlalu banyak kenangan manis kami berdua. Aku menghela nafas yang sungguh berat sekali.
Belum pun aku sempat hilangkan bayangan wajah Shila yang menangis memohon ampun maaf dari kotak ingatanku, Herwan pula menerpa ketika aku hendak pulang. Dia dengan wajah kusut masai menunggu di tempat letak kereta. Aku sudah tidak larat menghadapi tapi…
“Rika sayang…” Kedua-dua tanganku ditangkap erat. Aku cuba meronta tapi dia semakin kuat menggenggam.
“ Sudah, Wan! Sudahlah, Wan! Aku sudah tidak larat menghadapi semua ini. Tinggalkan Rika okey! Leave me alone,” ujarku lemah. Tidak berdaya menangis lagi.
“Wan tak boleh hidup tanpamu, Rika.” Ucapan Herwan itu hanya membuat aku menjadi marah. Kata-kata apakah itu setelah apa yang dilakukannya? Berani dia berkata seperti itu! Kalaulah dia tidak menggengam tangganku dengan erat sudah tentu pelempangku mencium ke wajahnya.
“Bodoh! Apa yang ingin Wan katakan? Tak cukupkan menyakiti hatiku hah! Apa lagi mahu mu, Wan? Pergilah pada Shila! Rika lepaskan kamu berdua, pergilah! Kenapa perlu menghukum Rika begini? Kenapa?” Pekikku tak terkawal.
“Wan… Wan tetap cintakan Rika. Shila… Shila… dia… Wan sayang akan Shila, tapi Wan paling cinta akan Rika. Oh, Rika… kenapa dalam hati Wan kamu berdua begitu penting? Rika tahu tak? Rika faham tak? Wan sayang akan Rika… cinta akan Rika,” kata-kata Herwan bagaikan membuat aku gila. Kenapa? Kenapa?
“Lepaskan Rika, Herwan! Dengar baik-baik. Hubungan kita sampai di sini saja. Hubungan kita bertiga… Wan, Rika dan Shila! Semuanya sampai di sini saja. Tak akan mungkin aku dan Shila jadi kawan baik lagi, dan paling tak mungkin Rika kembali kepada Wan. Lepaskan Rika sekarang juga!” Segalanya sia-sia. Herwan malah cuba memelukku, meyakinkanku betapa dia tidak boleh hidup tanpaku. Aku benar-benar cinta akan dia selama ini. Tentulah sukar bagiku menolak pujukannya kerana sesungguhnya aku masih lagi cinta akan lelaki ini, dengan sepenuh jiwa ragaku aku mencintainya. Aku ingin menangis teresak dalam pelukannya dan ingin sekali dipujuk manja olehnya. Aku ingin sekali mendengar bahawa semua yang kami lalui ini hanyalah mimpi ngeri sahaja dan ia sudah berlalu. Aku teringin merampas Herwan semula dari Shila. Aku ingin Herwan menjadi milikku yang mutlak. Tapi sebelum aku hanyut pada angan-angan dan khayalan itu, aku kembali teringat kata-kata Shila, betapa dia mencintai lelaki yang aku cintai ini. Oh, Tuhan! Tabahkan hatiku.
“Wan, berikan Rika masa. Rika perlu bertenang. Aku tak dapat berfikir sekarang ini. Wan, pergi! Pergilah dulu. Biarkan kita sama-sama bertenang.” Pujukku agar Herwan melepaskan bahuku. Aku tatap ke matanya dengan sungguh-sungguh meyakinkannya.
“Aku perlukan masa, Wan. Aku tidak dapat menerima semua ini dengan begitu mudah. Ia menyakitkan.” Ucapku lagi meyakinkannya.
“Tapi, kau masih cinta akan aku kan? Kau masih cintakan Wan kan?” Secara tiba-tiba air mataku mengalir laju. Apabila aku tanya soalan itu ke dalam hatiku, hanya keperitan yang menjadi jawapan. Sakit dan perit sekali. Masih cintakah aku? Aku cinta akan lelaki yang dulunya aku sangka akan setia. Tapi kini, masih cintakah aku setelah dia bercinta denga kawan baikku sendiri? Jawapan yang aku terima hanyalah rasa sakit dan pedih yang tidak terhingga. Aku perlahan-lahan mengangguk mengiakan meskipun aku tidak pasti tindakanku itu betul atau salah. Aku perlu lari. Lari dari lelaki ini! Semakin aku dekat dengannya semakin aku terasa derita, semakin aku tersiksa. Rasa kasih, sayang dan cinta bercampur baur bersama rasa benci, sakit hati, dendam dan sedih. Melihat anggukanku, tangan Herwan menjadi longgar di bahuku.
“Baik, Wan faham. Wan benar-benar sayang dan cinta pada Rika. Jangan sesekali berpisah dengan Wan, ya sayang…” Meruntun hatiku mendengar kata-kata ‘sayang’ itu. Andainya kata-kata ‘sayang’ itu hanya milikku seorang. Air mata gugur lagi. Herwan mengesat airmataku sedangkan matanya sendiri sedang bergenang mutiara jernih yang hampir menitis ke pipi. Akhirnya, Herwan melepaskan aku masuk ke dalam kereta. Dia melangkah lemah ke kenderaannya yang diletak tidak jauh daripada keretaku. Aku terus memandang belakangnya dengan pandangan semakin kabur kerana mataku penuh dengan air mata.
Hampir setiap hari Herwan menanti di bawah pejabat setiap kali pulang kerja. Aku rimas. Herwan mendesak aku menerimanya kembali. Puas aku berkasar atau berlembut tapi sekali pun Herwan tidak mahu menerima kalau aku putuskan percintaan kami. Tapi yang gilanya, dia tetap bersama Shila. Dia mahukan aku dan Shila. Gila! Herwan benar-benar gila! Aku tidak tahu bilakah masanya lelaki yang pernah ku cintai itu menjadi segila itu? Kenapa dia berubah menjadi seperti itu? Aku pernah memintanya memutuskan hubungannya dengan Shila jika dia benar-benar mahukan aku. Tapi dia melutut menangis memohon aku menerimanya. Sedikit pun dia tidak berjanji untuk berpisah dengan Shila. Selang sehari kemudian, Shila menelefon yang Herwan mabuk dan mengamuk.
Jelas sekali, Shila yang menjaga Herwan ketika itu. Tak mungkin Herwan berpisah dengan Shila kerana hanya Shila yang mampu bersabar dengan kerenahnya. Tapi kemudian, Herwan datang lagi memujuk merayu agar aku menerimanya kembali. Aku penat! Penat menolak dan penat didesak!
“Aril, aku nak minta tolong,” kataku pada Aril yang serius di depan komputernya. Dia mendongak memandangku dengan muka selamba.
‘”Hmmm...” Sahutnya ringkas.
“Boleh tak kau berlagak jadi kekasihk?”
“Hah?”
“Tolonglah jadi kekasihku!”
“Apa? Jadi kekasihmu?” Matanya terbelalak. Mulutnya terlompong.
“Ya, jadi kekasihku… Buat sementara waktu, sehingga Herwan berputus asa,” itulah rancanganku.
“Kau gila! Aku tak mahu…” Tolaknya mentah-mentah.
“Tolonglah, aku akan bayar. Aku bayar berapa saja kau minta.” Aku merayu. Dia tertegun menatapku. Kemudian menggeleng-geleng sambil ketawa.
“Aril… ‘please’! Aku perlukan bantuan. Aku tak tahu nak minta tolong dengan siapa lagi. Lagipun, hanya kau yang tahu dan faham masalahku.” Pujukku lagi.
“Susah sangatkah nak putuskan hubungan dengan lelaki mulut manis macam dia tu?” Sinis sekali ucapannya. Aku akur apa saja caciannya. Aku benar-benar perlukan pertolongannya kali ini. Herwan tak akan putus asa selagi aku tidak mencari jalan keluar.
“Aril… ia tidak semudah yang kau fikirkan. Tolonglah jadi kekasihku! Aku akan buat apa saja untuk membalas jasamu.” Ada air mata bergenang di bibir mataku. Aku tidak sanggup lagi berhadapan dengan Herwan. Aku terseksa berdepan dengan lelaki itu. Aku kasihan melihatnya yang seakan-akan hilang arah apabila aku mula marah padanya. Dia seakan-akan jadi gila apabila kami mula bertengkar. Apabila aku bertegas tidak mahu menjadi kekasihnya lagi .Tapi aku tidak boleh menerimanya semula. Tidak mungkin!
Aril merenungku. Air mata yang tadinya hanya bertakung di bibir mataku akhirnya jatuh berderai. Aril ketawa kecil tapi helaan nafasnya kedengaran berat sekali.
“Benarlah air mata adalah senjata perempuan.” Dia menghulurkan sapu tangannya padaku. Aku mengambil sapu tangan itu tanpa membalas kata-katanya.
“Baiklah, aku tak sampai hati melihatmu menangis, tapi kau kena ikut syaratku. Boleh?” Aku tertegun seakan-akan tak percaya yang Aril setuju dengan permintaanku.
“Betul? Oh, terima kasih!” Ujarku gembira.
“Jangan gembira dulu, aku belum memberitahu syaratku,” pintas Aril sambil senyum nakal, mengambil kesempatan atas pergantunganku padanya.
“Apa syarat-syaratnya?” Tanyaku tidak sabar. Aril terdiam seakan-akan berfikir.
“Aku belum memikirkannya lagi, aku akan memberitahumu nanti.” Oh, rupa-rupanya Aril sendiri tidak tahu syaratnya. Dia memang sengaja buat begitu. Tapi yang penting dia mahu menolongku.
“Jadi petang ni kau akan jadi kekasihku, betul?” Tanyaku dengan nada lega. Aril ketawa dan mengiakannya. Petang itu, kami turun bersama. Seperti dijangkakan, Herwan menunggu di bawah. Dadaku berdebar dan aku mula cemas. Bagaimanakah reaksi Herwan?
“Rika…” Herwan menerpa ke hadapanku. Tangan Aril segera aku pegang erat. Herwan mengerut kening. Ditenungnya Aril yang tenang di sisiku.
“Herwan, aku sudah bertunang dengannya,” lancar saja kata-kataku. Cepat-cepat aku mengeluarkan cincin pemberian arwah ibu dari dalam beg tanganku.
“Mustahil… Rika! Ini hanya helahmu.”
“Maaflah… Saudara, ini bukan helah. Kami benar-benar telah bercinta. Sebenarnya, sudah agak lama aku suka akan dia. Tapi kerana dia sudah ada kamu, jadi aku diamkan diri. Tetapi sekarang kamu telah menduakannya, jadi tiada alasan untuk aku lepas tangan. Dia sudah menerimaku. Jadi, sebaiknya kita selesaikannya dengan baik-baik saja.” Aku hampir tidak percaya Aril begitu lancar mereka-reka cerita itu. Kami langsung tidak ada perancangan yang rapi tentang ‘percintaan kami’ ini. Herwan terlompong. Mukaku ditenungnya seakan-akan mencari kebenaran.
“Sudahlah, Wan! Pergilah bersama Shila. Dia cintakanmu dan aku tidak lagi mencintaimu. Aku benar-benar suka akan lelaki ini. Dia pasti dapat membahagiakan aku. Jangan cari aku lagi. Antara kita tidak akan pernah ada cinta lagi setelah apa yang telah berlaku antara kita. Tak akan pernah Wan! Aril, mari kita pergi,” aku tarik tangan Aril.
“Tunggu! Kamu jangan melampau!” Nada Herwan agak marah. Dia menarik tanganku kuat. Lenganku terasa sangat sakit.
“Wan… Siapa yang melampau! Kaulah yang melampau.. Aku bencikan kau, jahanam!” Pekikku tak terkawal. Herwan tertegun.
“Kau tak boleh bencikan aku, Rika! Tak boleh… Semua ini kerana kau, sial!” Sebelum sempat kami berbalas kata-kata, tanpa diduga satu penumbuk Herwan ke arah Aril. Aril tidak sempat mengelak. Namun, tumbukan seterusnya dapat dielakkannya. Semuanya begitu pantas sekali. Aku hanya menjerit dan memekik melihat kedua-duanya bergelut. Mujurlah beberapa orang lelaki datang menolong meleraikan.
“Wan… Aku akan ‘report’ polis! Kalau kau ganggu aku lagi, aku akan ‘report’ polis! Sekarang juga aku akan report polis.” Ancamku sambil menjerit. Aku tak peduli. Semua orang sedang menyaksikan drama yang tidakku duga ini. Aku mencapai telefon bimbitku. Tapi Aril segera menahan. Herwan telah pun beredar. Aku rasa bersalah sekali melihat pipi Aril yang lebam.
“Maaf Aril, tak sangka kau akan jadi begini kerana menjadi kekasihku.” Aril hanya ketawa kecil mendengar kata-kataku.
“Aku sudah jangka hal ini mungkin berlaku, sebab tu aku menolak pada mulanya. Tapi tak apalah. Semuanya sudah okey kan?” Katanya sambil mengesat bibirnya yang berdarah sedikit.
“Celaka itu kuat juga. Habis muka ‘handsome’ aku lebam ditumbuknya.” Aku tambah rasa bersalah.
“Mari, biar aku sapukan ubat. Kita naik ke pejabat semula. Ada ‘First Aid’ dan ‘ice cube’ di pejabat kan?” Aril menurut. Kami naik semula ke pejabat.
“Aduh, perlahan-lahan,” rungut Aril ketika aku cuba merawat bibirnya yang pecah itu.
“Maaf, sakit ke?”
“Mestilah sakit, tapi tak apalah. Inilah harga air mata kamu yang telah buat aku lembut hati dengan kau tadi, aku dah agak dah.” Kata Aril lagi sambil ketawa kecil, tapi dia kemudiannya meringis kesakitan kerana bibirnya sakit.
“Janganlah cakap macam tu. Aku benar-benar terhutang budi dengan kau. Kau cakap sajalah macam mana aku boleh membalas jasamu ini. Kan aku sudah berjanji akan cuba penuhi permintaanmu pula?” Kataku sambil merenung ke wajahnya. Orangnya memang kacak, tentu ramai peminat.
“Tak apalah. Belum sampai masanya kau membalas jasaku. Mungkin suatu hari nanti akan ada pula yang akan merayu meminta pertolonganmu. Sekarang, mari kita balik dulu, cik adik manis, sebelum Herwan datang mengamuk lagi.” Gurau Aril lantas bingkas bangun.
“Cik adik? Jangan silap ya. Kamu lebih muda 3 tahun dari aku tau!” Ujarku mengingatkan.
“Oh, ya ke? Kamu ni berbadan kecil molek saja. Ingatkan kita seusia,” sahutnya sambil tergelak.
“Jadi nak panggil akak ke?” Tanyaku sambil ketawa. Kami jalan beriringan menuju ke pintu. Kunci pejabat segeraku keluarkan dari beg tangan.
“3 tahun je pun, tak naklah panggil gadis cantik macam kau kakak! Cuma beza 3 tahun sahaja, buat bini pun okey tu... Hahaha… Ish… Aduh! Sakit pula nak ketawa.” Aku jadi tergelak dengan gurauannya itu. Tapi tak sangka kerana pertolongannya itulah, aku dan Aril menjadi lebih rapat. Aku mengenalinya dengan lebih dekat. Pada mulanya, aku merasakan Aril seorang yang leceh dan agak angkuh tetapi juga suka menyibuk. Adakalanya seorang yang sinis dan suka membaca perwatakan orang lain. Dengan hanya melihat gaya pemakaian dan perbualan, dia dengan mudah membaca jenis orang itu. Sebenarnya aku paling benci pada orang yang suka menilai orang lain. Tapi lama-kelamaan aku semakin serasi bergaul dengannya dan aku tak kisah pandangannya terhadapku. Apa pun penilaian Aril terhadapku, yang aku tahu dia memang telah berbudi kepadaku. Sejak peristiwa itu, Herwan tidak datang mengangguku lagi. Walau bagaimanapun, Aril beberapa kali terserempak dengan Herwan mengintaiku dari dalam keretanya ketika aku pulang dari kerja. Atas sebab keselamatan, Aril setuju mengambil dan menghantarku pulang seolah-olah kami benar-benar pasangan kekasih. Sekurang-kurangnya buat masa terdekat ini. Bebarapa orang rakan kerja bertanya akan hubunganku dengan Aril. Aku dan Aril telah sepakat mengaku sebagai pasangan kekasih. Lagipun, cerita tentang Aril bertumbuk dengan Herwan di Parking Lot memang menjadi buah mulut rakan-rakan sepejabat yang lain. Oleh sebab kami kononnya pasangan kekasih, jadi aku banyak meluangkan masa bersamanya. Kami selalu keluar makan bersama. Lagipun, dengan Aril aku boleh luahkan apa saja masalah atau keluhan tanpa segan silu. Walaupun sering dikritik oleh Aril, tapi dia tetap sudi mendengar apa jua yang aku ceritakan. Aku bersyukur kerana Aril sanggup meminjamkan telinganya untuk mendengar keluh-kesahku yang entah apa-apa.
“Kamu, Rika?” Suatu hari seorang gadis datang mengunjungiku. Gadis cantik itu memandangku dari atas hingga ke bawah.
“Ya? Kenapa, cik?” tanyaku hairan.
“Boleh tahan juga. Lawa. Citarasa Aril memang bagus. Saya Akila, kakak Aril.” Aku tergugup mendengar. Kakak Aril? Kenapa dia datang mencariku?
“Biar saya terus terang, Cik Rika. Sebenarnya, adik saya tu ada ramai buah hati. Tapi yang ramai tu hanya untuk isi masa lapang saja. Saya bukannya nak buat kamu patah hati, cuma nak ingatkan saja. Jangan sampai kamu mengharap sangat. Kekasihnya yang serius iaitu anak perempuan tunggal Pemilik Avenue Hotel yang kaya raya. Jadi, rasanya dia pasti tidak akan lepaskan kamu jika dia tahu kamu sedang merampas teman lelakinya. ‘So’, kamu pandai-pandailah ya.” Aku terlompong. Seakan-akan tidak percaya apa yang aku dengar. Tapi apabila aku fikirkan semula ada benarnya kata-kata kakaknya itu. Aril memang kacak orangnya. Tentulah ramai peminat. Kalau ramai peminat tentulah boleh punya ramai buah hati. Tapi bagaimana aku nak percaya Aril seorang yang kaki perempuan? Dia tidak kelihatan seperti itu. Tapi siapa tahu kan? Aku bukannya kenal sangat dengan anak muda itu. Tapi, sepanjang aku mengenalinya aku tak pernah nampak dia berkepit dengan mana-mana gadis. Tapi yalah, aku bukannya 24 jam bersamanya. Manalah aku tahu hidup peribadinya. Dia tidak pernah memberitahu yang dia ada kekasih atau yang sewaktu dengannya.
“Oh, itu… Itu… Rasanya tidak ada masalah,” sahutku pada Kakak Aril. Dia mengerut kening. Dia memandang tajam ke arahku. Tidak percaya.
“Tidak ada masalah? Oh, jadi kamu memang tidak serius dengan adik saya? Oh ya, perempuan sekarang memang mata duitan. Kamu bersama dengannya hanya pasal duit kan?” Aku sekali lagi terlompong. Tidak faham dengan tuduhan Akila.
“Bukan begitu. Cuma aku dan Aril belum begitu serius. Kami hanya berkawan rapat saja.” Terangku supaya Akila tidak menuduhku macam-macam. Mata duitan? Kayakah si Aril hingga aku nak kikis duitnya? Dia pekerja biasa macam aku juga. Kenapa pula aku dituduh mata duitan? Peliknya kakak Aril ni.
“Tidak serius? Hahaha… Adik saya tidak serius tetapi mengambil dan menghantar kamu pulang setiap hari ke tempat kerja. Dia sampai lebam-lebam bertumbuk dengan orang kerana kamu. Kamu memang pandai mempergunakan adik saya ya?” Nadanya agak marah. Aku tergugup lagi. Berasas juga tuduhannya. Tapi itu bukan kisah sebenar. Tentulah Akila akan fikir begitu. Aku faham.
“Tidak, bukan begitu. Jangan salah sangka. Saya membayar minyak untuknya juga. Dia tidak menghantarku dengan percuma. Dia hanya menolongku kerana bimbang akan keselamatanku saja. sebab aku pernah diganggu oleh bekas teman lelaki.” Terangku dengan berharap dia akan menghentikan prasangka buruknya, tapi riak wajahnya langsung tidak menunjukkan yang dia percaya akan kata-kataku.
“Pelik tapi menarik sekali, Cik Rika. Dia adalah adik kesayangan saya dan kekasihnya itu adalah kawan baik saya. Jadi, saya ingin beri amaran dengan baik-baik. Jika nak berkerja lebih lama di sini serta nak hidup tenang, lebih baik jauhkan diri dari adik saya. Saya tidak mahu ada gadis yang mahu ambil kesempatan dengan adik saya. Faham?” Aku tertegun dengan ugutannya. Apa kesalahan yang telah aku lakukan?
“Hai, kakak. Apa kakak buat di sini?” Aril tiba-tiba muncul.
“Oh, kakak saja datang melawat. Saja nak tengok kekasih kamu ni.” Aku menggigit bibir. Berpaling ke arah Aril. Kami berpandangan. Melihat riak mukaku dia seakan-akan tahu apa yang berlaku. Dia segera menerpa ke depanku.
“Kakak, bukankah aku dah cakap jangan masuk campur dalam urusan peribadi Aril?”
“Ya, Cik Akila. Saya dan Aril sebenarnya…” Aril segera memberi isyarat berhenti padaku. Aku segera mendiamkan diri. Menunggu Aril saja yang bercakap.
“Hubungan Aril dengan Rika adalah urusan peribadi Aril, kakak. Aril harap kakak hormati pendirian Aril, ‘please’?” Akila merengus. Dia menjelingku.
“Baik, tapi kakak akan memerhati tahu!” Aku benar-benar terkejut. Tidak menduga Aril ada seorang kakak yang begitu ‘protective’. Akila berlalu. Aku terduduk dan mengeluh. Semenjak dua menjak ini, hidupku tidak tenang. Mula-mula, kekasih dirampas oleh kawan baik sendiri. Selepas itu, si kekasih pula macam orang gila talak. Kini, aku dilabel sebagai perampas kekasih anak orang kaya yang berpengaruh pula. Sungguh tak terduga episod hidupku ini, ‘mungkin boleh dibuat novel,’ bisik hatiku sambil senyum sendiri.
“Eh, bukankah kau cuti sakit? Kenapa datang pula?” Tanyaku pada Aril yang kelihatannya agak pucat. Tentu dia tidak sihat.
“Ya, aku dengar kakak datang ke pejabat sebab tu aku cepat-cepat datang, dia tu memang suka buat kecoh.” Suaranya agak parau. Dia memicit-micit kepalanya.
“’Are you okay, Aril’? Kau nampak teruk.” Aku mula cemas.
“Sekarang dah masa ‘lunch’, mari biar aku hantar kau balik.” Aril tidak membantah. Katanya kepalanya agak pening. Aku memapahnya sampai ke keretanya.
“Mana kunci kereta?” Aril segera mengeluarkan kunci kereta. Aku segera memandu ke Taman Saerah. Aku tahu apartmennya blok B, tapi tentulah aku tidak pernah masuk ke apartmennya. Aku pernah mengambilnya ketika keretanya masuk ‘workshop’.
“Tingkat 2, nombor 3,” ujarnya ketika kami di pintu lif. Aku terus memapahnya masuk. Pertama kali aku masuk ke apartmennya. Aku tertegun melihat apartmennya. Ia adalah apartmen yang mewah. Macam orang kaya sahaja Aril ni. Entah-entah, dia ni anak orang kaya sebab tu kakaknya tuduh aku nak kikis duitnya.
“Macam mana? Kau dah makan ubat tak?” Dia menggeleng. Dahinya panas sekali.
“Aku tak sepatutnya hantar kau pulang. Aku patut hantar kau ke hospital. Kau demam panas ni.” Aku semakin panik kerana panas badannya semakin meningkat.
“Tak apa, kau cari di dapur dalam kabinet. Ada ‘First Aid’. Ada ubat demam di situ.” Aku bergegas mencari.
“Aril… Bangun. Makan ubat.” Aku memberikan ubat dan segelas air kepadanya. Walaupun lemah, dia bangun juga.
“Sejuk… Sejuk betullah,” katanya dengan bibirnya bergetar sedangkan dahinya aku rasakan panas yang teramat. Dia kembali berbaring di atas sofa. Aku segera masuk ke biliknya mengambil ‘blanket’ dan bantal. Aku kemudiannya membasahkan tuala kecil dan meletakkan tuala basah itu di kepalanya yang panas membara itu.
“Sejuk…” Katanya lagi dengan mata tertutup. Dia benar-benar deman.
“Sabar… Sekejap lagi ubat yang kau makan itu akan bertindak,” pujukku. Dia kedengaran merancu-rancu tanpa sedar. Aku memandang jam. Hampir jam 2 petang. Aku perlu balik berkerja.
“Aril… Aku pergi kerja dulu. Nanti petang aku jenguk kau ya. Kau berehatlah.” Aku cuba menggerakkan dia, tapi dia tidak menyahut. Tentu dia sudah tertidur. Tapi baru saja aku ingin bangun, dia telah menarik lenganku.
“Rika… Boleh tak tolong temankan aku di sini? Kepalaku sangat sakit. Aku rasa macam nak muntah juga, tapi tak boleh muntah. Temankan aku ya. Tolonglah…” Aku tidak sampai hati menolak. Lagipun anak muda ini sudah banyak berbudi padaku.
“Baiklah. Aku akan temankan kau sekejap lagi.” Aku segera menelefon Puan Tina memberitahu yang aku berada di rumah Aril untuk menjaganya yang sedang demam panas.
“Panggil saja kalau kau mahu apa-apa. Aku ada di sini,” kataku pada Aril walaupun aku tidak pasti sama ada dia sedar atau tidak. Aku meraba tuala di dahinya. Sekejap saja tuala itu menjadi suam. Aku segera membasahkan semula tuala itu dan meletakkan semula ke dahinya.
Jam sudah menunjukkan jam 8.00 malam. Panas badan Aril sudah mula reda. Aku membangunkannya untuk makan ubat.
“Aril… Mari! Makan sedikit bubur ni. Selepas tu makan ubat,” ujarku sambil membawa bubur yang masih berasap itu dekat dengannya. Aku sempat memasak bubur ayam untuknya ketika dia nyenyak tidur. Dia mengesat matanya dan cuba bangun.
“Kena isi perut sebelum makan ubat.” Kataku seakan-akan memujuknya makan. Perlahan-lahan aku menyuapkan bubur ke mulutnya. Entah kenapa aku melayannya seperti budak kecil tapi dia tidak membantah.
“Awas, panas.” Aku meniup bubur itu sebelum menyuapnya lagi. Tiba-tiba dia tersenyum kepadaku.
“Kenapa?” Tanyaku bila menyedari senyumannya.
“Kau sedang memanjakan aku, memang tak rugi aku ditumbuk Herwan hari tu. ‘In return’, kau jaga aku macam menatang minyak yang penuh.” Aku tergelak kecil.
“Jadi, aku sedang membalas budi baik kaulah ni kan?” Tanyaku bergurau.
“Terima kasih, Rika. Sedap bubur ni. Aku memang lapar, aku belum makan apa-apa sejak pagi.” Dia kemudiannya mengambil sudu dari tanganku dan mula makan sendiri.
“Kau tinggal sorang di rumah ni?” Tanyaku menyibuk. Saja nak tahu.
“Soranglah, belum beristeri memanglah tinggal sorang.” Sahutnya sambil tersenyum kecil dan melirik ke arahku sekilas sebelum menyuap kembali buburnya.
“Maksudku, kau tak tinggal dengan keluarga?” Tanyaku lagi.
“Dah besar panjang, buat apa nak duduk ketiak mak bapa kan?” Nadanya seakan-akan kurang senang. Jadi, aku tidak mahu mengorek lebih lanjut.
“Ubat ada di sini. Nanti jangan lupa makan ubat. Aku balik dulu okey?” Aril menggangguk. Aku bangun menuju ke pintu.
“Terima kasih,” ujarnya lagi. Aku hanya melambai dan berlalu pergi. Awal paginya aku datang melawatnya lagi. Maklumlah aku telah bawa balik keretanya, mana tahu dia sudah sihat dan mahu menggunakan keretanya.
“Kau dah okey?” Tanyaku sebaik saja dia membuka pintu. Wajahnya tidak lagi pucat. Aku sebenarnya hampir terpegun kerana melihat betapa kacaknya Aril walaupun hanya dengan pajama. Dia tidak memakai kaca matanya. Dia nampak lebih menarik.
“Hmm… Beransur pulih.”
“Aku sengaja singgah. Aku guna keretamu ke tempat kerja ya. Keretaku masih di Parking Lot. Nanti kalau kau dah sembuh, aku jemput kau ke tempat kerja okey?” Kataku ingin segera pergi kerja.
“Baiklah, maaf menyusahkan kau.” Aku hanya tersenyum. Aku bangun ingin beredar.
“Tunggu, Rika…” Langkahku terhenti. Berpaling ke arahnya yang masih memakai pajama.
“Apa yang kakak cakap denganmu hari tu?”
“Ehem… Katanya kau ni ramai kekasih. Lagi, kekasih nombor satumu ialah anak perempuan tunggal pemilik Hotel Avenue. Betul? Dia juga tak suka aku berkawan denganmu sebab aku ni suka ambil kesempatan dengan kau. Tiap-tiap hari aku jadikan kau kuli atau ‘driver’ ambil dan hantar pergi kerja, jadi dia nak aku jauhkan diri dari kamu, Aril.” Aku memberitahu secara ringkas.
“Ah, kau jangan pedulikan kakak aku yang suka menyibuk tu! Kau percaya aku ramai kekasih tak?” Aku hanya angkat bahu sebagai jawapan sambil tersenyum.
“Cepat sembuh! Kita ada banyak kerja di pejabat. ‘Paper work’ semuanya masih tunggang-langgang tau.” Aku segera berlalu tanpa berpaling ke arahnya.
“Aril…” Aku memanggilnya yang sibuk di atas mejanya.
“Hmm…” Sahutnya tanpa memandangku.
“Aril…” Bahunya aku cuit. Dia mendonggak.
“Apa?” Aku melebarkan senyumanku bila dahinya berkerut. Tentu aku telah mengganggu konsentrasinya, tapi aku memang tak sabar nak beritahu cerita terbaru yang ingin aku kongsikan dengannya. Aku tahu dia tak jadi marah kalau aku buat senyuman macam itu.
“Kau ada dengar tak? Ada desas-desus cakap anak ketua pengarah syarikat kita sedang bekerja sebagai pekerja biasa di syarikat ni. Siapalah agaknya ya? Kau boleh teka tak? Kan kau pakar menilai perwatakan orang?” Aku begitu beria-ia dengan gosip terbaru itu.
“Hmm… entah. Aku tak dengar pun.” Dia kelihatan tidak berminat.
“Ha… Ituulah aku nak ‘story’ dengan kau ni. Dalam ramai-ramai pekerja syarikat ni sebenarnya ada seorang anak ketua pengarah yang juga menjadi pekerja biasa. Tapi tak tahu orangnya. Dengar cerita, tak lama lagi dia akan menggantikan ayahnya sebagai ketua pengarah. Habislah, kalau kita bermusuhan dengan dia, telah buat sesuatu yang dia tak suka atau dia nampak kita curi tulang, apabila dia jadi ‘managing director’ nanti kena pecatlah jawabnya ya tak?” Sambungku lagi.
“Hmm… Tahu tak apa. Jadi, kalau anak big bos tengok kau sedang bergosip dengan aku, kau dengan aku sekali nanti kena tendang keluar, nak?” Aril ketawa selepas menyindirku.
“Yelah… Yelah… aku sambung kerjalah ni. Aku tahulah kau tu pekerja contoh, tak payah sindir aku, tapi jangan lupa walaupun aku kerja lengang-lengang saja, tapi kalau aku ‘full blast’, ha… Semua kerja ‘last minute’ pun boleh siap tau.” Aku tersengih dan berlalu ke mejaku. Aku sempat melihat senyuman Aril yang menyakitkan hati.
“Hoi… dah sampai masa makan ni.” Aku tersentak sambil mengurut dada. Tadinya aku khusyuk mengemaskini data dalam komputer.
“Kau nak bunuh akukah, Aril? Kalau aku ada sakit jantung dah kantoi aku kau buat macam tu. Aku belum kahwin lagi tau.” Aril tersengih.
“Tak keluar makan?” Aku menggeleng.
“Kenapa? Diet?” Aku ketawa dengan tekaannya.
“Aku ambil ‘half day’ hari ni. Jadi, kejap lagi aku balik. Aku ada janji temu yang penting selepas kerja ni.” Terangku sambil terus menyiapkan kerjaku.
“Oh, temujanji? Dengan siapa?” Tanyanya seakan-akan berminat. Aku senyum apabila mendengar nada suara Aril yang tertanya-tanya itu.
“Adalah… Rahsia.” Aku mengenyitkan mata kepadanya. Dia mencebik lantas keluar. Sebenarnya, aku ada janji temu dengan doktor gigi. Dan doktor gigi tu adalah kawan sekolahku dulu. Keesokan harinya.
“Aril… Mulai esok, kau tak payah ambil dan hantarku pulang lagi. Rasanya, Herwan sudah tidak mengekori aku lagi kan?” Kataku ketika masuk ke dalam perut keretanya.
“Hmm… yakah? Kau rasa selamat?” Kereta mula bergerak.
“Ya, dah lama kan? Sepatutnya dia sudah putus asa kan?”
“Atau sebab janji temu penting semalam?” Aku ketawa. Aril suka meneka.
“Apa kaitannya dengan janji temu semalam?”
“Semalam kau ada temujanji dengan lelaki. Kau takut lelaki itu salah faham kalau aku ambil dan hantar kau pulang macam sekarang ni?” Tekanya lagi.
“Hmm… Semalam aku memang ada janji temu dengan lelaki. Tapi aku tak kisah pun kalau dia nak salah faham atau apa. Kau ni ada-ada sajalah. Tapi, aku pun nak tahu. Betulkah kekasih kau anak orang kaya, apa tu? Anak pemilik Hotel Avenue?” Kali ni giliran Aril pula yang ketawa.
“Namanya Arisya.”
“Oh, jadi benarlah dia kekasihmu! Kakak kau cakap. Kalau kekasih kau tahu yang kononnya aku ni kekasihmu juga walaupun sebenarnya semua orang tak tahu kita cuma kekasih olok-olok saja, dia tak akan lepaskan aku. Hei, aku tak naklah jadi macam tu. Dah terlepas mulut buaya nanti masuk mulut harimau pula.” Kataku sambil ketawa.
“Kau tahu siapa yang buaya? Si Herwan umpama buaya dan yang jadi harimau pula ‘girlfriend’ kau tu. Habislah aku! Wah, ‘girlfriend’ kau orang kaya ya, boleh tahan juga kau ni memikat,” tambahku lagi.
“Sebenarnya, aku dan Arisya tiada apa-apa. Dia saja yang perasan lebih-lebih.” Aku pandang mukanya dengan rasa tidak percaya.
“Kau ni tak boleh percaya betullah. Ayat macam kau ni biasa dengar tau. Hmm… Kalau tak silap aku, lelaki yang kaki perempuan suka sangat guna ayat macam ni. Kau biar betul la Aril? Kalau dengan perempuan lain kau bolehlah cakap macam tu. Tapi dengan akak ni tak payahlah kau jual temberang pula.” Bidasku agak geram. Kalau dah ada kekasih tu mengaku sajalah. Bukannya aku nak cemburu pun.
“Akak? Ei… Apa ni nak bahasakan diri akak pula. Kenapa? Aku ni tak layak jadi kekasih kaukah, Rika?” Suaranya seakan-akan tersinggung. Dia serius memandu.
“Bukan macam tu, jangan la marah. Kan kita ni kekasih olok-olok saja? Tapi sampai bila nak berlakon sebagai kekasih? Kita kena kembali ke alam realiti. Lagipun, kalau kita terus macam ni, nanti susahlah aku perlu bermusuh dengan anak orang kaya. Selepas tu, siapa nak pikat aku? Asyik berkepit dengan kau saja.” Aku pun naik geram juga sebab dia suka membidas kata-kataku. Bukannya dia tak faham. Saja nak sakitkan hatiku.
“Jadi, betullah janji temu semalam tu orang yang istimewa? Kononnya tiada kaitan, yalah. Kalau aku asyik berkepit dengan kau, takut orang tu tak berani ‘dating’ dengan kau lagi kan?” Aik! Akhirnya aku pula yang kena. Memang tak boleh menang kalau lawan cakap dengan budak Aril ni.
“Yalah… Betullah tu. Tapi Aril, macam mana kau boleh cairkan hati anak orang kaya tu ya? Kalau aku jadi kau, tentu rasa bangga kalau anak orang kaya suka aku, mesti seronok kan?” Aku cuba ubah topik perbualan. Malas nak bertengkar.
“Jadi, kau ni mata duitanlah? Kalau anak orang kaya nak akan kau, kau mesti terima macam tu saja kan?” Sinis pula nadanya. Kenapa Aril ni? Datang bulankah? Gurau sikit pun tak boleh. Tapi aku hanya tersengih apabila diperli seperti itu. Perangai dia memang dari dulu macam tu. Sinis. Kata-katanya selalu tajam macam pisau. Tahan hati sajalah. Tapi aku tahu dia baik hati. Kalau tidak tak akan dia sanggup bertumbuk dengan Herwan sedangkan aku bukan saudara dia pun. Dia sanggup berlagak jadi kekasih sekali gus jadi ‘driver’ sementara aku. Aku memang terhutang budi dengan si mulut lazer ni.
“Err… mata duitan? Siapa tak suka duit? Hahaha… Tapi aku boleh agak kenapa kau tak suka dengan anak orang kaya tu. Dah namanya anak orang kaya. Mesti berlagak. Dah tu, nak kena jaga dia macam puteri, manja, gedik, mesti macam tu kan? Hai, memang susah kalau ‘bergirlfriendkan’ anak orang kaya! Tentu tertekan nak layan anak orang kaya. High class pula tu. Nak ‘dating’ pun tak boleh pergi gerai biasa, perlu bawa ke restaurant mewah. Anak tunggal pula tu. Hei, ‘good luck’ ya!” Aku ketawa mengusiknya. Aril menjeling dengan muka cemberut.
“Memang betul, anak orang kaya banyak ragam. Spoiled! Tapi kalaulah anak ketua pengarah kita yang kononnya berkerja dengan kita tu tiba-tiba nak jadikan kau sebagai ‘girlfriendnya’ macam mana? Kau nakkah?” Aku terdiam dan cuba membayangkan kata-katanya itu.
“Eh, anak ketua pengarah kita tu lelaki atau perempuan? Biar betul! Tapi kan… Kalau macam yang kau cakap tu. Wah, seronok juga tu! Aku boleh suruh dia naikkan pangkat aku. Hahaha… Tapi jangan risau, kalau aku naik pangkat, aku tak akan lupakan kau. Kau kawan aku yang paling baik, jadi kalau aku jadi ‘girlfriend’ anak bos, aku akan suruh dia naikkan gaji kau juga.” Kataku sambil ketawa geli hati. Aril hanya memandangku dengan muka menyampah.
“Tapi Aril, kalau pun anak ketua pengarah kita tu lelaki, dia mesti tak nak aku.”
“Kenapa pula?”
“Yalah… Satu ‘office’ dah tahu yang aku ni kekasih kau,” kataku sambil menunggu reaksinya. Dia ketawa mendengar kata-kataku.
“Betul juga! Jadi, putus asa sajalah nak jadi kekasih anak bos kita.” Katanya terus ketawa. Sebelum sempat aku membalas kata-katanya. Kami telah pun sampai.
“Jom sayang… Hari ni hari terakhir aku hantar kau ke tempat kerja sebagai kekasihku. Selepas ni kita putus, supaya kau ada peluang memikat anak bos.” Gurauannya membuat aku mencebik. Bila masa aku kata nak pikat anak bos? Kami keluar dari keretanya. Aku membuntutinya dari belakang.
“Oh ya, jam 10 pagi ni ada ‘staff meeting’ kan?” kataku pada Aril inginkan kepastian. Aril mengiakan. Tiba-tiba dia berpaling menatapku. Aku terhairan. Dia seolah-olah ingin berkata sesuatu.
“Apa dia?” Dia kemudiannya mengeleng. Hai, entah apalah budak sorang ni! Dia cepat-cepat meninggalkanku dengan langkah yang panjang.
Ketika mesyuarat tiba-tiba saja ketua pengarah yang jarang sekali kelihatan itu memperkenalkan anak lelakinya yang akan menggantikan jawatannya. Memang semua orang agak terkejut tapi akulah yang paling terkejut.
“Aril, anak saya akan mengambil alih kerja-kerja saya mulai minggu depan.” Aku mencubit pahaku. Aduh, sakit! Jadi ini bukan mimpi. Apa semua ni? Aril, temanku bertengkar itu adalah anak ketua pengarah? Semua gurauan dan kata-kataku padanya sebelum ini kembali menerpa semula. Aril sedikit pun tidak memandangku. Aku juga menundukkan muka. Macam mana aku boleh minta tolong tentang hal peribadiku dengan anak bos? Susah nak percaya! Nampaknya, aku kehilangan seorang kawan lagi. Malu dan berbagai perasaan lain seakan-akan menampar-nampar mukaku. Rakan sekerja yang lain berbisik-bisik sambil memandangku. Aku tidak pasti apa yang dikatakan mereka, tapi aku merasa sangat malu yang teramat. Apabila melihat muka ketua pengarah, aku terasa ingin menyembunyikan mukaku di bawah meja. Tahukah dia yang aku telah membuli anak lelakinya? Sampai kena tumbuk hingga lebam. Malah jadi ‘driver’ aku hampir setiap hari. Aku teringat kata-kata Akila, “Cik Rika. dia adalah adik kesayangan saya dan kekasihnya itu ialah kawan baik saya. Jadi, saya ingin beri amaran dengan baik. Jika nak berkerja lebih lama di sini, nak hidup tenang, lebih baik jauhkan diri dari adik saya. Saya tidak mahu ada gadis mahu ambil kesempatan dengan adik saya. Faham?” Jadi inilah maksud di sebalik kata-katanya itu. Macam mana aku nak menghadapi Aril pada hari-hari akan datang? Aku memang tidak tahu. Habis mesyuarat. Kami bersurai. Aku segera ke bilik air, cuba bertenang beberapa minit. Ketika keluar, aku terserempak dengan Norjihah, rakan sekerja.
“Wah, tak sangka Rika! Buah hatimu anak bos rupanya. Bukan, dia dah jadi bos kita sekarang. Kau memang awal-awal dah tahukah?” Tanya Norjihah dengan berminat sekali.
“Err… Err… Aku… Aku tak tahu.” Norjihah menutup mulutnya yang terlompong.
“Oh, patutlah reaksimu agak aneh! Tapi, bagaimana perasaannya apabila dapat tahu yang dia tu anak bos? Anak orang kaya tu, bertuahnya badan,” dia ketawa kecil cuba mengusikku. Aku terdiam. Aku tak tahu apa yang patut aku jawab.
“Entahlah, Jihah… Aku bingung ni.” Norjihah menepuk bahuku.
“Tak apa, semuanya akan baik nanti. Aku keluar dulu ya.” Dia beredar membiarkan aku termangu-mangu di dalam. Apabila aku kembali ke mejaku, tiba-tiba saja Aril mendekat. Apa pula yang akan dikatanya?
“Lamanya di bilik air, curi tulangkah?” perlinya dengan senyuman jahat. Aku terkedu. Itu gurauan atau apa? Sudahnya, aku hanya diam dan duduk buat kerja dengan senyap. Aku perasan Aril berkali-kali menoleh ke arahku tapi mungkin kerana aku seperti serius berkerja, jadi dia tidak menegurku. Suasana agak aneh sebab selama ini aku kerap mengajaknya berborak. Malah, aku selalu mengusiknya terlalu serius berkerja. Tapi kini, situasi ini benar-benar membuatkan mulutku yang becok menjadi senyap. Ketika hendak pulang. Aku sengaja lambat-lambat mengemas mejaku. Aku menumpang Aril pagi tadi. Aku bingung, patutkah aku berpura-pura tidak mengangapnya anak bos dan terus ikut keretanya macam biasa? Patutkah aku balik naik teksi saja?
“Seriusnya. Kalau serius sangat masa kerja nanti muka cepat berkedut, kau pernah cakap macam tu kan?” Aku mendongak ke wajahnya yang tersenyum jahat. Aku akhirnya tersenyum.
“Kau kenakan aku dengan teruk sekali. Bos, boleh aku tumpang kereta bos hari ini?” Kataku dengan sedikit gurauan setelah yakin aku masih boleh menganggapnya kawanku.
“Tentulah, hari ni kau masih lagi kekasihku. Jom!” Walaupun janggal aku mengekorinya dari belakang macam selalu, masuk ke dalam kereta, aku cuba bertenang. Marah ada, geram pun ada. Tapi aku malu betul sebab hari sebelumnya aku sibuk memberitahunya khabar tentang anak ketua pengarah, sedangkan dia itulah orangnya.
“Kenapa diam? Tak nak tanya apa-apa?” Katanya ketika mula memandu.
“Entahlah… Aku tak tahu nak tanya apa. Macam mimpi saja. Aku dah kehilangan seorang kawan dan kekasih olok-olok. Macam mana aku nak berkawan dengan bos yang sedia maklum betapa kerapnya aku curi tulang? Memang ada harapan aku dipecat ni.” Ketawa Aril meledak.
“Takut juga kau dipecat ya? Tak nak minta naik pangkatkah?” Perlinya sambil terus ketawa. Gembira benar dia mentertawakanku.
“Ketawalah puas-puas.” Kataku agak tersinggung.
“Kenapa? Marahkah?” Aku menggeleng.
“Mana boleh aku marah dengan bos,” kataku sambil mengeluh. Dia masih melayanku begitu mesra, masih mengusikku seperti selalu sedangkan selepas ini semuanya tentu akan berubah.
“Kan bagus aku dah jadi bos kau, kau boleh minta naik pangkat, boleh minta naik gaji, betul tak?” Aku mencebik dengan kata-kata perli itu.
“Selepas ni kita tak boleh berkawan lagi, kau bos aku. Aku tak boleh curi tulang lagi. Aku susah betul nak percaya.” Kataku dengan suara agak sedih. Dia tiba-tiba signal ke tepi jalan. Aku kehairanan.
“Rika… Aku tidak percaya lelaki dan perempuan boleh menjadi kawan.” Dia menatapku tajam. Aku menelan air liur melihat betapa tegas dan seriusnya dia mengucapkan kata-kata itu.
“Kenapa tak boleh?” Tanyaku hati-hati.
“Apabila lelaki dan perempuan berkawan rapat, sebenarnya ada satu perasaan istimewa antara mereka. Lelaki dan perempuan tidak akan berkawan tetapi hanya akan bercinta.” Dia tatap terus ke mataku, aku jadi tergugup. Apa pula yang cuba dikatanya?
“Jadi, selama ini aku tidak anggap kau sebagai kawan, bukan juga sebagai kekasih olok-olok.” Aku membulatkan biji mataku, ingin tahu apa yang akan dikatakannya, tapi dia hanya berhenti sampai di situ saja. Aku jadi jengkel kerana dia tidak meneruskan kata-katanya ketika aku di puncak rasa ingin tahu.
“Jadi kau anggap aku sebagai apa?” Dia tersenyum nipis.
“Aku anggap kau sebagai rakan kerja aku yang kasihan dan banyak masalah dengan bekas kekasihnya.” Dia kemudiannya kembali memandu dengan senyuman jahat. Benar-benar jahat! Cis! Hampir saja aku perasan bahawa dia sebenarnya suka akan aku, cinta akan aku. Eh, cinta? Kenapa sejauh itu aku berfikir. Semuanya salah si Aril yang bodoh ini. Aku merungus geram.
“Kau tengah maki hamun aku dalam hati?” Tanya Aril seolah-olah dapat membaca fikiranku.
“Aku memang rakan sekerja yang malang kan. Eh, salah! Sekarang dah tukar ‘title’, aku merupakan pekerjamu yang malang,” ketusku dengan geram. Aril ketawa mendengar sahutanku. Aku lega sebab kenderaan sudah sampai di depan pintu rumahku. Bolehlah aku berambus dari keretanya cepat-cepat. Aku tak tahan diperli dan diejek terus-menerus.
“Terima kasih,” ucapku sambil membuka pintu.
“Tunggu…” Aku berhenti dan menoleh kearahnya.
“Apa?” Tanyaku apabila melihatnya tersenyum jahat lagi..
“Kita dah putus hari ni, jadi kau berpeluang memikat anak bos,” katanya dengan senyuman jahatnya. Aku hanya segera menutup pintu kereta. Gurauan apakah itu?
Aku menguap berkali-kali. Semalam aku tidak dapat tidur dengan lena. Hal tentang Aril membuat aku tidak boleh tidur. Tapi pagi ni, aku sudah bertekad akan menghadapi Aril sebagai bos. Bukan lagi sebagai kawan. Aku akan menjaga jarak. Lagipun, buat apa aku cari penyakit dengan berkawan rapat dengannya apatah lagi jika sampai terjatuh cinta padanya. Dia umpama api. Kalau main api nanti terbakar, jari aku juga yang sakit hati. Biarlah enggang terbang dengan enggang, burung pipit kena cari burung pipit sebagai teman. Kalau tidak, nanti si pipit mati dipatuk si enggang betina. Aku tersenyum sendiri kerana monologku sendiri. Mujurlah hari ini hari Sabtu, kami kerja setengah hari saja. Jadi aku akan berdampingan dengan Aril di pejabat setengah hari ini saja lagi. Minggu depan, dia akan berpindah ke bilik bos. Aril belum kelihatan. Aku sengaja datang awal hari ini sebab semalam tidak lena tidur, jadi lebih baik aku ke pejabat lebih awal. Tidak lama kemudian, kelibat Aril kelihatan. Dia tersenyum kepadaku. Aku merasa janggal membalas senyumannya.
“Tidur nyenyakkah semalam?” Dia seakan menyindirku. Aku tahulah kesan lebam di mataku kerana tidak cukup tidur.
“Hmm… Nyenyak sekali,” balasku sambil berpura-pura serius memulakan tugas. Kami kemudiannya berkerja dengan senyap kecuali ada apa-apa yang penting perlu ditanya berkaitan kerja. Aku terasa amat tertekan sekali dengan situasi itu. Tapi mujurlah hari ini adalah hari terakhir. Nanti aku tak akan berhadapan dengan rasa kekok seperti itu lagi. Pada tengah hari itu, aku sengaja lama-lama di bilik air sebelum pulang. Aku sengaja membiarkan Aril benar-benar pergi supaya aku tak perlu turun ke bawah bersamanya. Apaila aku keluar, dia sudah tidak ada di mejanya. Aku lega. Aku cepat-cepat turun. Tapi, ketika turun aku terpandang seorang perempuan jelita sedang bercakap-cakap dengan Aril di tepi keretanya. Aku terpaku memerhati. Arisyakah itu? Gadis jelita itu akhirnya masuk ke dalam kereta Aril. Mereka kelihatannya berbual-bual agak mesra. Malah, dengan gelak ketawa lagi. Entah kenapa dadaku menjadi berdebar kencang. Dadaku terasa sesak dan sukar bernafas. Dadaku terasa sakit dan sakitnya hampir sama ketika aku melihat Herwan dan Shila berpengangan tangan. Kenapa aku ni? Aku menarik nafas panjang dan cuba bertenang. Debaran di dadaku sedikit pun tidak mahu surut. Aku cemburukah ni? Oh, tidak!
Minggu berikutnya, Azizul telah menggantikan tempat Aril. Aku jarang melihat kelibat Aril kerana dia sudah berpindah ke bilik bos yang berlainan bangunan. Meskipun aku sengaja mengelakkan diri dari terjumpa Aril, tetapi sesekali aku teringin melihat Aril sekarang. Bagaimanakah rupanya setelah menjadi ketua pengarah?
“Termenung lagi, nampaknya data yang aku minta tu sampai esok pun tak dapat kan?” Azizul membangunkan ku dari menungan.
“Eh, maaf, sekejap lagi ya Zul,” aku cepat-cepat membelek fail.
“Kenapa? Kau dah putus cinta dengan anak bos tu?” Tanya Azizul terus terang. Aku ternganga mendengar kata-katanya.
“Ah… A… Ya. Aku dah putus dengan dia,” aku mengiakannya.
“Hmm, patutlah kau asyik termenung.” Kata Azizul lagi. Dia berlalu. Apa yang buat aku termenung adalah sebab aku mula sedar sesuatu yang ganjil. Mungkin ada masalah dengan diriku. Aku mula rindu akan Aril. Rasanya, aku mungkin telah jatuh hati dengan Aril. Bodohnya aku. Aku menarik nafas dalam-dalam. ‘Aku boleh lalui semua ini,’ bisikku meyakinkan diri. Tapi hari-hariku menjadi hampar apabila tiada Aril yang menjadi temanku bertekak. Aku rindu dengan kata-kata sinisnya. Aku tercari-cari dengan sindirannya yang tajam. Aku teringin melihat senyumannya yang jahat itu.
“Rika… Kau ada masa tak? Kita keluar makan?” Doktor gigi muda yang baik hati itu menelefonku mengajak aku keluar makan. Apa salahnya. Daripada aku asyik termenung macam orang bodoh.
“Boleh juga, di mana?” Tanyaku.
“Hmm… Tempat hari tu, okey?”
“Baiklah.” Akhirnya pada tengah hari itu aku keluar. Biasanya aku kirim tapau saja dengan kawan dan makan di pejabat. Ketika sampai di restoran yang dimaksudkan, aku melihat Danny, doktor gigi itu sedang berbual-bual dengan seorang gadis yang aku kenal. Farah! Adik sepupuku!
“Hai… Danny! Farah! Dah lama tunggu,” mereka menyambutku mesra.
“Baru saja sampai ni, kak. Mari duduk dan ‘order’ makanan,” kata Farah sambil menarikku duduk di sebelahnya.
“Rika… Kami akan bertunang pada minggu depan. Ini semua atas jasa kau. Terima kasih, Rika.” Aku terkejut. Aku telah memperkenalkan Danny dengan Farah dan tidak sangka hubungan mereka berkembang begitu cepat.
“Wow… Ini betul-betul ‘good news’.” Kami terus berbual-bual dengan ghairah. Tiba-tiba di suatu sudut, aku terpandang kelibat Aril, darahku berderau. Sudah hampir tiga minggu aku tidak melihatnya. Tapi orang yang lalu lalang menghalang penglihatanku. Akhirnya kelibatnya hilang. Aku pun tidak pasti aku benar-benar melihat Aril atau itu cuma bayanganku saja. Selepas balik ke pejabat, aku masih teringat-ingat akan bayangan Aril yang aku lihat tadi. Argh… Adakah aku sudah gila?
“Cik Rika, Puan Tina panggil kamu ke biliknya,” interkom dari Norjihah. Aku segera bingkas ke bilik Puan Tina.
“Ya, puan. Puan panggil saya?”
“Ah… Ya! Mari sini, duduk.” Aku segera melabuhkan punggungku, bersedia mendengar.
“Kamu akan dinaikkan pangkat dan di pindahkan ke bahagian Finance. Jadi mulai minggu depan sila bersedia untuk ‘transfer’ ke ‘finance department’. Kamu berkerja ‘under’ Encik Razak. Okey?” Aku terkedu. Sama sekali tidak menyangka. Finance department?
“Ini suratnya. Nah, ambil! Kamu tidak ada masalah kan?”
“Terima kasih, puan… Terima kasih,” hanya itu yang mampu aku ucapkan. Aku terlalu terkejut. Naik pangkat? Eh, aku bermimpi ni! Minggu berikutnya, aku mula melapor diri. Suzie menunjukkan bilikku dan bilik-bilik yang lain di ‘department’ itu.
“Ini bilik kamu, yang itu bilik Encik Razak dan bilik depan itu bilik ketua pengarah.” Berderau darahku apabila melihat tertera papan tanda bilik ketua pengarah. Itu bilik Aril. Berdepan saja dengan bilik ku. Apa ni?
“Ah, selamat pagi Encik Aril…” Sapa Suzie pada Aril yang muncul dari belakang dengan tiba-tiba. Aku benar-benar terasa salah tingkah.
“Selamat pagi, Suzie. Ya, Rika. Selamat bertugas di ‘department’ ini.” Kata Aril sambil dia mengeyitkan matanya kepadaku. Aril masih lagi begitu jahat.
“Err… Ya… Terima kasih,” ucapku perlahan.
“Ah ya, Rika… Tolong masuk ke bilik saya sekejap. Suzie, sediakan minuman panas ya.”
“Duduk.”Katanya dengan nada mendatar. Aku duduk seperti diarahkannya. Dia menatapku lama dan aku membiarkannya sehinggalah dia mula bersuara semula.
“Kau tak nak tanya kenapa aku panggil kau ke mari?” Ucapannya tidak lagi formal seperti tadi. Dia terus menatapku. Sebenarnya, aku lega kerana akhirnya aku telah melihat wajahnya lagi. Walaupun aku tak mahu mengaku tapi memang jelas aku rindu akan Aril.
“Kenapa?” Tanyaku dengan suara yang rendah.
“Sebenarnya aku telah naikkan pangkatmu, jadi gaji pun dah naik juga,” mataku membulat memandang Aril. Dia tersenyum mengulum. Apa yang cuba disampaikannya?
“Kenapa?” Tanyaku lagi.
“Kenapa? Bukankah itu yang kau mahu? Tapi aku tak puas hati, sebab apabila kita putus hari tu. Kau langsung tidak cuba memikat anak bos tu. Kau betul-betul sedikit pun tak ada hati dengan dia?” Aril terus menatapku. Wajahnya serius. Aku bingung. Aril serius atau ini hanyalah gurauannya lagi?
“Apa yang kau cakap ni, Aril?” Tanyaku meminta kepastian.
“Aduh, kau ni, Rika… Bodoh atau apa? Jadi kau betul-betul tak tahu yang aku benar-benar suka akan kau. Aku separuh mati sukakan kau! Kau tahu tak?” Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Rasanya sekali lagi aku bermimpi. Aku cepat-cepat mengigit bibirku.
“Tak, ini bukan mimpi. Apa yang aku cakap ni betul.” Kata Aril yang telah membaca perbuatanku. Sebelum aku menjawabnya terdengar bunyi ketukan di pintu bilik.
“Masuk.” Suzie datang membawa dua buah cawan berasap. Rupa-rupanya ada juga cawan untukku. Aku tersenyum pada Suzie sebagai tanda terima kasih. Suzie kemudiannya beredar.
“Jadi, kau benar-benar suka akan aku?” Tanyaku macam orang bodoh. Sebenarnya aku tidak tahu hendak bereaksi seperti apa. Ini di luar jangkaanku. Aril, si budak bermulut kejam itu adalah bos aku dan kini memberitahu yang dia benar-benar suka akan aku? Ada ramai perempuan di luar sana, tapi dia suka akan aku?
“Kenapa? Kau tak rasa begitukah? Bibirku pernah pecah ditumbuk Herwan tau!” Dia mengungkit. Aku jadi tersenyum.
“Aku dengar kau asyik termenung di tempat kerja. Jadi, aku fikir ada baiknya kau pindah ke sini supaya aku senang nak tegur kau kalau aku nampak kau curi tulang, tak kan nak makan gaji buta kot.” Kata Aril sambil tersenyum jahat lagi.
“Aku termenung? Mana ada!” Aku cuba menafikan.
“Ya… Aku juga sudah nampak lelaki istimewa janji temu kau tempoh hari. Aku sengaja ikut kau dari belakang. Lega hati aku nampak dia bawa awek.” Katanya lagi sambil tersenyum nakal. Jadi, benarlah aku ternampak dia hari tu. Aku ketawa geli hati.
“Benarkah kau buat macam tu?” Tanyaku tidak percaya.
“Kau tak percaya atau kau nak aku gambarkan baju apa yang lelaki tu pakai?” Kata Aril lagi. Aku menarik nafas dalam-dalam.
“Tapi Aril… Sabtu terakhir tu, aku nampak kau dengan seorang gadis di Parking Lot. Itu Arisya ke?” Lagi-lagi Aril tersenyum.
“Ya… Kenapa? Kau cemburu ?” Aduh! Terkena batang hidungku. Tapi aku menafikannya.
“Ha… Kan aku dah cakap, aku tak nak masuk mulut harimau. Kau nak aku bermusuh dengan dia? Aku cuma gadis biasa yang tak ada apa-apa, Aril. Semua ni mengarut betullah!” Kataku sambil menjuihkan bibirku.
“Mengarut! Rika… Aku dan Arisya sampai bila-bila pun tak akan ada apa-apa. Keluarga kami memang rapat sebab ayah dia kawan baik ayahku, tapi aku benar-benar cinta akan kau, Rika. Jadi percaya sajalah, mudah saja! Kau hanya perlu percaya denganku,” tiba-tiba saja tanganku digenggamnya erat. Dia sungguh serius. Aku terpaku menatapnya. Aku bermimpi lagikah? Aril sedang mengucapkan kata-kata cintanya padaku. Kalau mimpi cepatlah bangun!
“Aku… Aku… Tak tahu nak cakap macam mana, Aril… Tapi, biar aku terus terang. Apabila nampak kau dengan Arisya, hati aku sakit sekali macam masa kali pertama tengok Herwan dan Shila berpegangan tangan,” kataku kemudian. Senyuman lembut Aril begitu manis di mataku. Tatapannya seolah-olah mencairkan hatiku. Walaupun aku tak nak mengaku, tapi aku rasa aku memang dah 'fall in love' dengan dia ni.
“Rika… Kau hanya perlu cakap dengan aku macam yang kau pernah cakap dulu.” Aku terpegun. Apa yang pernah aku cakap dulu?
“Apa?” Tanyaku macam bodoh lagi. Aril ketawa kecil. Hidungku dicuitnya.
“Tolonglah jadi kekasihku! Kau pernah cakap macam tu kan?” Katanya dengan nada yang lembut sekali. Aku ketawa. Terasa selesa sekali berada dekat dengannya. Aku percaya yang dia benar-benar merasakan seperti apa yang aku rasa. Perasaan yang begitu dekat dan istimewa serta aku yakin itulah cinta.
“Ya Aril… Tolonglah jadi kekasihku!” Kataku sambil membalas genggaman tangannya.

♥ misz AEYRA ♥

My photo
I come from Johor. I'm more comfortable you all call me Aeyra or Maiden. I am a cute smallest. (^ ^,)